suria

Majlis Peguam Kemuka Deraf Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman Versi Mereka

PETALING JAYA: Deraf Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dikemukakan oleh Majlis Peguam kepada kerajaan antara lain menyokong perhimpunan bergerak dan mereka berumur di bawah 18 tahun sahaja yang tidak dibenarkan menyertai sebarang perhimpunan kecuali bercorak keagamaan, sosial, pendidikan, budaya atau kekeluargaan.

Deraf itu telah disampaikan oleh Majlis Peguam kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong selepas beratus orang peguam mengambil bahagian dalam perarakan dari Taman Botanikal ke perkarangan bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Perarakan itu adalah untuk memprotes rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan.

Menurut Majlis Peguam, setiap orang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan awam melainkan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Cadangan yang dibuat oleh kerajaan ialah mereka dibawah umur 21 tahun tidak boleh mengambil bahagian atau merancang sebarang perhimpunan awam.

“Yang dimaksudkan sebagai perhimpunan awam ialah satu perhimpunan yang disertai oleh lebih dari 50 orang, dibuat di tempat awam, tidak kira sama ada perhimpunan itu adalah satu perhimpunan bergerak mahupun untuk tujuan pilihan raya umum," jelas deraf tersebut.

Rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan tidak membenarkan perhimpunan diadakan di jalanan tetapi sebaliknya di tempat lapang yang tidak menghalang lalu-lintas.

Deraf Majlis Peguam itu juga turut mengandungi peruntukkan untuk membentuk sebuah lembaga bebas yang mengawal perhimpunan aman sebagai alternatif kepada peruntukkan kuasa yang berlebihan kepada pihak polis.

Tanggungjawab lembaga yang dicadangkan itu juga antara lain untuk mendengar dan menilai sebarang permohonan daripada ketua polis daerah dan pihak penganjur seandainya kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Deraf yang dikemukakan oleh Majlis Peguam itu juga turut mencadangkan agar mereka yang mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan aman diberikan imuniti perundangan sedangkan rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan menyebut mana-mana individu yang tidak menurut peraturan dan melanggar syarat perhimpunan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain