suria

KWSP Tidak Akan Beri Pinjaman Kepada Projek Berisiko Tinggi

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan memberi pinjaman kepada syarikat berisiko tinggi sebaliknya hanya kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan dan mempunyai aset, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, pada Selasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, semua bentuk pelaburan KWSP akan dipantau dan dinilai panel pelaburan dan risiko KWSP sebagai jaminan bahawa pinjaman itu selamat.

"Keputusan panel ini perlu mendapat kelulusan Menteri Kewangan yang perlu ditapis di peringkat Kementerian Kewangan. Saya yakin pelaburan berisiko tinggi tidak akan dibuat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau).

Ismail ingin tahu sama ada KWSP benar-benar memantau semua aktiviti pelaburannya terutama yang berisiko tinggi.

Awang Adek berkata, panel pelaburan KWSP itu dianggotai beberapa pakar termasuk Timbalan Gabenor Bank Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) mengenai kedudukan jumlah pinjaman KWSP kepada institusi korporat, Awang Adek berkata, setakat Jun 2011 jumlah pinjaman KWSP kepada institusi berkenaan adalah RM83.7 bilion.

Beliau berkata, bagi pelaburan dalam bentuk pinjaman, sebahagian besarnya adalah berjaminan kerajaan dengan RM79.41 bilion atau 95 peratus merupakan pinjaman kepada kerajaan manakala baki RM4.31 bilion lagi adalah pinjaman institusi korporat.

Awang Adek berkata, KWSP sentiasa memastikan pelaburan yang dibuat akan mendapat pulangan tinggi dan tidak bergantung kepada jaminan kerajaan semata-mata.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain