"Jangan Sabo, Jangan Boikot , Jangan Mandikan Calon, Jangan Tutup Bilik Gerakan & Jangan Lari Ke Luar Negara" - Semasa | mStar

"Jangan Sabo, Jangan Boikot , Jangan Mandikan Calon, Jangan Tutup Bilik Gerakan & Jangan Lari Ke Luar Negara"

KUALA LUMPUR: Anggota Umno diseru supaya "Jangan sabotaj, jangan boikot, jangan cah keting, jangan peteh sama sendiri, jangan ‘mandikan’ calon-calon, jangan tutup bilik gerakan, jangan main belakang, jangan lari ke luar negeri, jangan tikam kawan, jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang."

Pesanan serius ini dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno serentak di PWTC, malam Selasa.

Sebaliknya beliau meminta ahli-ahli Umno khususnya wanita, pemuda dan puteri agar "​Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin. Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti."

Beliau meminta mereka memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan dalam menentukan calon yang layak bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang yang disifatkan penentu kelangsungan politik Umno perlu dianggap sebagai medan jihad untuk agama, bangsa dan negara.

Justeru katanya, anggota Umno di setiap peringkat perlu mengenepikan perbezaan dan persengketaan sebaliknya menumpukan kepada usaha memantapkan parti dan meyakinkan rakyat mengenai perjuangannya.

"Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihanraya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita.

"​Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat.

"Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka," katanya.

Selain itu Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, taat setia tanpa perasaan berbelah bahagi kepada parti perlu diserapkan demi memastikan agenda transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dapat dilaksanakan.

Katanya lagi, sokongan padu anggota Umno dan rakyat secara keseluruhannya amat diperlukan kerana PRU-13 akan datang diibaratkan seperti pertandingan antara hidup dan mati.

"Ingat, pilihanraya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihanraya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti," katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, jentera ketiga-tiga sayap parti itu iaitu wanita, pemuda dan puteri perlu digerakkan secara bersama sebagai benteng untuk mempertahankan parti.

"​Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak.

"​Ayuh, gerakkan seluruh kekuatan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno untuk menjadi benteng parti. Datuk Seri Shahrizat, Pergerakan Wanita adalah srikandi Umno. Pengaruh wanita amat kuat dalam masyarakat.

"Saudara Khairy, andalah panglima perang paling muda dalam UMNO. Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng Umno yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu.

"Datuk Rosnah, Puteri adalah permata Umno. Pimpinlah Puteri dengan kesatuan hati dan matlamat. Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan Umno," katanya.

Artikel Sebelum

Vespa Khas Edisi Umno Dipamer Di PWTC

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain