suria

Jabatan Kehakiman Syariah T'gganu Selesai 334 Kes Sebulan Selepas Jalani Kursus Di Arab Saudi

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) berjaya menyelesaikan 334 kes sebulan atau lebih 15,000 setahun.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, mulai September lepas, JKST mengguna pakai sistem e-nota bicara bagi mempercepatkan perjalanan sesuatu kes.

Beliau berkata, JKST merupakan satu-satunya jabatan kehakiman di negara ini yang menggunakan sistem itu ekoran penghantaran hakim mengikuti kursus Perundangan Islam di Riyard, Arab Saudi sejak tahun lalu.

"Kita amalkan sistem telus, di mana hakim dibenar mengemukakan soalan kepada kedua-dua pihak yang dibicarakan serta nota bicara yang dicatat hakim ini dapat dilihat secara terus oleh defenden dan plaintif pada skrin yang disediakan di hadapan mereka.

"Kita sudah melepasi sasaran bila setiap kes yang dibicarakan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, malah ada yang kurang daripada itu," katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, terdapat sebilangan kecil sahaja kes yang tertangguh melebihi sasaran jabatan, dan perkara itu berpunca daripada masalah peguam dari luar Terengganu.

Beliau menambah, pengalaman sebulan berkursus di Arab Saudi banyak membantu dan menambah baik pelaksanaan kes di negeri ini.

Katanya lagi, JKST juga mengkaji kaedah mahkamah di Arab Saudi yang menyediakan seorang pembantu untuk hakim mencatat setiap kes yang dibicarakan bagi melancarkan perjalanan sesuatu kes itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain