suria

Banjir Di Kelantan Pulih, Jumlah Mangsa Menurun Kepada 1,247

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pantai Timur malam ini semakin reda apabila jumlah mangsa pemindahan banjir di Kelantan terus menurun kepada 1,247 orang membabitkan 347 keluarga berbanding 1,327 orang petang tadi manakala banjir di Terengganu sudah pulih sepenuhnya.

Di KELANTAN, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata sehingga malam ini, enam buah pusat pemindahan di Pasir Mas dan Tumpat masih beroperasi.

"Cuaca di Kelantan semakin baik apabila dilaporkan cerah di beberapa kawasan.

"Mangsa banjir terpaksa berpindah secara berperingkat sementara menunggu air yang menenggelami kawasan kediaman mereka surut sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata paras air Sungai Golok di Rantau Panjang juga menurun kepada 10 meter, namun masih melebihi paras bahaya sembilan meter.

Jurucakap itu berkata sehingga malam ini lima laluan di Pasir Mas dan Tumpat masih ditutup kepada kenderaan ringan.

"Di Pasir Mas, empat laluan ditutup iaitu Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu Kilometer 10; Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 Kilometer 1; Jalan Pengkalan Rakit Kilometer 3 dan Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram Kilometer 3.

"Satu laluan ditutup di Tumpat iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti Kilometer 3," katanya.

Selain itu, banjir yang melanda Kelantan sehingga kini telah meragut empat nyawa dengan tiga lagi masih dilaporkan hilang, dikhuatiri lemas.

Empat mangsa yang ditemui mati lemas itu adalah lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun manakala tiga lagi yang masih hilang adalah remaja berusia antara 10 dan 15 tahun.

Mereka yang masih hilang dikenali sebagai Mohd Alif Rizuan, 15, yang mandi di sebuah sungai di Machang, Mohd Azman Yusuf, 17, yang hilang di Sungai Golok dan Mohd Farid Mohd Yusof, 20, yang hilang di Pantai Kuala Pak Amat.

Di TERENGGANU, kesemua 26 mangsa banjir terakhir yang berada di pusat pemindahan Kuala Terengganu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri berkata enam keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi.

Banjir musim tengkujuh melanda beberapa daerah di Terengganu Ahad lalu setelah hujan lebat berterusan selama beberapa hari sebelum itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain