suria

Undang-Undang Perhimpunan Aman Tidak Zalim, Ia Jamin Hak Setiap Rakyat - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 adalah satu undang-undang "draconian" yang zalim berbanding sebelum ini.

Perdana Menteri menegaskan rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas sebenarnya lebih menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk berhimpun secara aman.

"Dalam akta yang baru ini, hak warganegara untuk berhimpun dengan aman itu terjamin, itu yang penting. Adalah tidak berasas sama sekali bahawa kerajaan lebih zalim daripada Myanmar dan macam-macam karut lagi. Mereka yang membuat dakwaan ini mahu mengelirukan orang ramai," katanya pada sidang media selepas merasmikan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Isnin.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat itu menyekat hak dan kebebasan rakyat negara ini untuk bersuara sehingga dikatakan lebih buruk daripada apa yang diamalkan di Myanmar.

Pada 24 November lepas, Najib membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman di Parlimen yang meliputi hak bukan sahaja kepada penganjur dan peserta untuk menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata malah turut mengambil kira kepentingan awam dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, di bawah rang undang-undang itu, pihak yang ingin mengadakan perhimpunan di kawasan yang ditetapkan kini hanya perlu memaklumkan kepada polis, yang akan bertindak menyelia perhimpunan itu, pada bila-bila masa dengan mengemukakan notis yang singkat.

Presiden Umno itu turut menyelar pembangkang kerana membuat tafsiran yang tidak betul terhadap rang undang-undang itu terutamanya berhubung notis 30 hari yang perlu kemukakan oleh penganjur sekiranya ingin mengadakan perhimpunan.

"Sebenarnya, perkataan yang digunakan adalah dalam tempoh 30 hari, ia boleh jadi dalam tempoh lima atau 10 hari tetapi kerana perkataan itu menimbulkan banyak kekeliruan, kami memutuskan untuk lebih khusus dengan menetapkan 10 hari, maka tidak timbul lagi kekeliruan," katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan yang tidak ditetapkan sahaja, penganjur perlu memberi notis tempoh selama 10 hari supaya pihak polis boleh membuat rundingan dengan komuniti sekitar untuk mendapatkan pandangan mereka.

Ditanya kawasan mana yang boleh dibenarkan diadakan perhimpunan, Najib berkata, kerajaan akan menetapkan tempat-tempat berkenaan, misalnya di stadium atau kawasan lapang manakala kawasan yang tidak boleh diadakan perhimpunan adalah seperti di hospital.

Perdana Menteri berkata, undang-undang baru itu sebenarnya jauh lebih baik dan merupakan perubahan besar kepada undang-undang sedia ada kerana polis mempunyai kuasa untuk membenarkan atau tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan.

Katanya, akta itu juga digubal dengan mengambil kira 12 akta serupa yang diamalkan di negara-negara lain serta menepati norma-norma antarabangsa. "Yang penting sekali kita nak berhimpun, kita nak menyuarakan pendapat kita. Kita boleh berhimpun dengan cara aman dan ini berpandu kepada norma antarabangsa sebab kita dah kaji 12 akta lain yang diamalkan oleh negara-negara di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, demonstrasi jalanan memang sesuatu yang tidak dibenarkan kerana ia mengganggu orang ramai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain