suria

Tiga Dikhuatiri Lemas Di Kelantan Sejak Semalam

KOTA BAHARU: Tiga remaja lelaki dikhuatiri lemas di beberapa tempat di negeri ini sejak Sabtu.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharberi Zakaria berkata Muhamad Farid Mohd Yusof, 20, dikhuatiri lemas selepas dikatakan bersiar-siar dengan menaiki basikal di pesisiran pantai di Kuala Pak Amat, Kampung Panjang, Pengkalan Chepa pada 4.55 petang.

"Seramai 10 anggota dari balai Pengkalan Chepa menyertai operasi menyelamat bersama unit Skuba dari Balai Bomba Pengkalan Kubur. Turut serta anggota polis dan Skim Rondaan Sukarela," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, Mohd Alif Razuan Azman, 15, pula dikhuatiri lemas di Sungai Kemuning, Machang ketika bermain bersama-sama rakannya pada pukul 4 petang Sabtu.

Operasi menyelamat masih dijalankan ketika ini.

Sementara itu, Mohd Azman Yusuf, 17, pula dikhuatiri lemas di Sungai Golok, Rantau Panjang malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Setakat ini, empat dilapor mati lemas sepanjang musim tengkujuh ini iaitu kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun, budak lelaki berumur 10 tahun dan remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain