suria

Semua Dasar Bersama PR Harus Dipersetujui Ketiga-tiga Parti Komponen - Khalid Samad

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, apa jua dasar yang ingin dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat (PR) haruslah dipersetujui bersama dan ini termasuklah persoalan hudud.

“Selagi ia (hudud) tidak dipersetujui ketiga-tiga parti (PAS, DAP dan PKR) ia tidak akan dilaksanakan, tetapi PAS berhak untuk mengusahakan dan menjelaskan kepada masyarakat dan mendapat persetujuan masyarakat untuk perlaksanaannya. Tetapi ia tidak akan dilaksanakan sehingga ketiga-tiga parti ini bersetuju,” kata Khalid dalam wawancara dengan portal berita Roketkini.com.

Khalid yang juga merupakan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor menegaskan demikian ketika ditanya bagaimanakah PR bekerjasama sebagai satu pasukan dan apakah pakatan ini semata-mata untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) sahaja ataupun untuk memerintah.

Dalam konteks ini, Khalid berkata, PR melihat bahawa ia merupakan keadaan di mana ia akan menghasilkan sistem dua parti di negara ini.

“Di mana BN dengan ‘coalition’ mereka dan Pakatan Rakyat dengan ‘coalition’ kita. Ia bukan sekadar untuk menjatuhkan Barisan Nasional, tetapi ia adalah untuk kita memerintah bersama di mana segala dasar-dasar utama harus dipersetujui oleh semua pihak dan tidak menghalang mana-mana parti untuk mengusahakan penerimaan dasar oleh mana-mana parti.

“Apa dasar yang ingin dilaksanakan harus dipersetujui bersama, tetapi setiap parti ada dasar masing-masing dan dasar ini tidak perlu digugurkan, boleh diusahakan oleh parti masing-masing, tetapi tidak dapat dilaksanakan sehingga dasar dasar ini telah dipersetujui oleh semua.

“Sebagai contoh, persoalan hudud dan sebagainya, selagi ia tidak dipersetujui ketiga-tiga parti ia tidak akan dilaksanakan, tetapi PAS berhak untuk mengusahakan dan menjelaskan kepada masyarakat dan mendapat persetujuan masyarakat untuk perlaksanaannya. Tetapi ia tidak akan dilaksanakan sehingga ketiga-tiga parti ini bersetuju,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat perkara yang “kita boleh agree to disagree” atau sama-sama setuju untuk tidak bersetuju dan ada perkara yang mereka bersetuju untuk dilaksanakan secara bersama.

Dalam soal ini, Khalid berkata beliau tidak merasakan ia menjadi satu masalah kerana banyak perkara yang mereka boleh setuju bersama dan ini termasuklah dalam soal pemerintahan bersama.

Misalnya, kata beliau seperti dalam soal-soal yang memberi manfaat kepada rakyat, kebajikan pada rakyat, ketelusan, amanah dan bebas rasuah.

“Kita lihat Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor...Pakatan dapat bekerjasama dalam keadaan-keadaan yang berbeza. Macam di Kelantan, ramai orang PAS, menteri besar orang PAS. Kedah lebih orang PAS jadi orang PAS jadi MB, tetapi ada juga PKR dalam kerajaan Kedah.

“Di Pulau Pinang, DAP pula lagi ramai jadi jawatan ketua menteri dari DAP. Di Selangor pula PKR lebih besar dan kemampuan kita untuk mentadbir negeri di bawah kita dalam keadaan yang berbeza ini menunjukkan formula untuk mengekalkan Pakatan Rakyat ini memerintah negeri-negeri dan negara, memang boleh dilaksanakan,” tegas beliau.

Ini katanya, bukan lagi satu teori tetapi terbukti boleh dilakukan walaupun mungkin timbul masalah.

Masalah di dalam parti, katanya tidak dapat dielakkan tetapi oleh kerana PR memakai formula dan prinsip ‘consensus’ dan musyawarah dikekalkan, PR dapat menjamin kestabilan kerajaan yang memerintah.

Kepada soalan apakah kemungkinan PAS akan meletakkan calon bukan Islam, dan apa pula pandangan PAS jika DAP ingin meletakkan lebih ramai calon Melayu Islam, adakah itu boleh menjadi mekanisma dalam menjana dimensi politik baru di bawah PR, Khalid menjawab dalam PR, setiap parti mewakili prinsip dan ideologi masing-masing yang berbilang kaum.

“DAP mempunyai wawasan politiknya yang tersendiri dan wawasan politik ini tidak terhad kepada satu kaum, begitu juga dengan PKR dan begitu juga dengan PAS.

“Kalau apa yang nak dizahirkan bahawa setiap parti adalah bebas daripada aspek perkauman lalu diletakkan calon yang berbilang bangsa, bagi saya, saya tidak melihat ia sebagai masalah. Cuma DAP calon-calonnya selama ini ramai Cina dan India yang sudah ke depan dan nampak jelas, tetapi dalam sejarah mereka, mereka pernah ada calon-calon Melayu.

“Ia bukannya satu pekara yang baru, cuma orang lupa atau tidak perasan. PKR memang berbilang kaum. Cuma PAS sahaja yang kurang meletakkan calon bukan Melayu atau bukan Islam dan ini menjadi cabaran yang terbesar bagi PAS bila kita meletakkan calon bukan Melayu atau bukan Islam.

“Kita pernah lakukan pada 2008 tetapi ketika itu calon kita menggunakan lambang PKR. Ini memang kita boleh katakan politik baru bagi negara Malaysia di mana kita hendak membebaskan Malaysia daripada pengaruh politik perkauman dan kita hendak masyarakat menilai sesuatu itu berdasarkan kemantapan calon, wawasan dan idea yang dibawa, bukan berdasarkan kaum semata mata,” kata Khalid lagi.

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain