suria

Restoran Terbakar, Kedai Kopi Rosak Akibat Letupan Gas

KUALA LUMPUR: Sebuah restoran terbakar manakala sebuah kedai kopi rosak akibat letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas terpusat di pusat beli-belah Maju Junction Mall di sini malam Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian pada pukul 11.35 malam itu turut menyebabkan cermin di sekeliling restoran itu pecah manakala pelbagai peralatan dalam kedai kopi itu rosak.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan pada pukul 11.40 malam dan dua jentera bomba dihantar ke tempat kejadian.

"Punca kejadian mungkin disebabkan oleh kebocoran gas terpusat untuk memasak dan pihak kami masih menyiasat kerugian," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jurucakap pengurusan Maju Junction Mall Ismawati Mohd Shah berkata berikutan kejadian itu, pusat beli-belah itu ditutup untuk pembersihan sebelum beroperasi semula, Isnin.

Pada 28 September lepas sebuah restoran musnah akibat letupan gas di Empire Shopping Gallery di Subang Jaya yang menyebabkan empat orang cedera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain