suria

Pesawah Bakal Terima Insentif Peningkatan Hasil Padi Mulai Bulan Depan - Noh Omar

JOHOR BAHRU: Sejumlah 73,291 pesawah di negara ini bakal menerima tunggakan Insentif Peningkatan Hasil Padi berjumlah RM110 juta yang dibayar secara berperingkat mulai bulan depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, sebagai permulaan 1,000 pesawah di Selangor akan menerima bayaran itu mulai 4 Disember ini dalam tiga peringkat.

"Ia diberikan kepada pesawah yang berjaya meningkatkan hasil padi mereka sejak tahun 2007.

"Peningkatan hasil padi melebihi satu tan metrik, melayakkan pesawah menerima insentif sebanyak RM650 ringgit," katanya sambil menambah sebanyak RM1,300 akan diberi untuk 10 tan metrik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek penanaman nanas MD2 Kulim Malaysia Berhad di Ladang Ulu Tiram, Johor.

Sabtu lepas, Noh memberi jaminan kementerian itu akan menjelaskan tunggakan insentif berkenaan kepada pesawah.

Beliau berkata, sebelum ini pembayaran tidak boleh dilakukan kerana jumlah sebenar pesawah yang berjaya meningkatkan hasil padi tidak dapat dikenal pasti.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru ini menyatakan kementerian itu belum membayar RM110.67 juta kepada kira-kira 73,291 pesawah di bawah Insentif Peningkatan Hasil Padi sejak 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain