suria

Naib Canselor UTM Dipilih Tokoh Maal HIjrah Negeri Sembilan

SEREMBAN: Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang dipilih Tokoh Maal Hijrah 1433 peringkat Negeri Sembilan.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi dekat sini malam Ahad.

Zaini, 49, yang dilahirkan di Kampung Inas, Johol, berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Newcastle serta mempunyai kepakaran di bidang rawatan air dan sisa.

Sebelum menyandang jawatan Naib Canselor UTM, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli di universiti sama.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Zaini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mengiktiraf sumbangan kepada negeri dan negara melalui kepakarannya termasuk dalam bidang pendidikan tinggi.

Beliau berkata berfikiran terbuka dan menetapkan sasaran untuk berjaya merupakan resipi kejayaannya dalam hidup.

"Selain daripada niat, kita perlu tetapkan fikiran kita, dan kita mesti melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh serta kosisten, baru kita boleh mencapai apa yang kita inginkan," katanya.

Anugerah itu membolehkan Zaini membawa pulang RM10,000, pakej umrah bernilai RM6,000 dan hadiah iringan serta sijil penghargaan.

Anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah pula diterima Amirahman Abas, 29, yang menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa dan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun lepas.

Anugerah Tokoh Ulama Silam diberikan kepada Allahyarham Datuk Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain