suria

MTUC Nafi 'Berperang' Dengan Kerajaan Mengenai Pindaan Undang-Undang Buruh

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 800,000 anggota menafikan sekeras-kerasnya bahawa ia bersedia "berperang" dengan kerajaan mengenai cadangan pindaan undang-undang buruh.

"Kenyataan mengenainya adalah tidak benar dan juga bukan pendirian rasmi kongres," kata setiausaha agungnya Abdul Halim Mansor.

Beliau mengulas kenyataan setiausaha kewangan MTUC, Alias Awang Ibrahim pada Kongres Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor Baharu hujung minggu lepas, bahawa MTUC bersedia "berperang" dengan kerajaan kerana gagal melindungi hak-hak pekerja.

Abdul Halim mengulangi bahawa MTUC bukan parti politik dan hanya memberikan perhatian terhadap kebajikan pekerja-pekerja di negara ini.

"Kita tidak ada agenda politik dan kita hanya komited untuk melindungi hak-hak pekerja yang termaktub dalam undang-undang buruh negara," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, Alias bercakap dalam kapasitinya sebagai anggota PKR Bahagian Gombak dan bukan mewakili MTUC.

“Kita sudah pasti menjauhkan diri kita daripada kenyataan yang dibuat oleh Alias kerana ia adalah pandangan peribadi dan tidak ada kaitan dengan pendirian rasmi MTUC, tambah beliau.

Abdul Halim berkata, walaupun MTUC tidak berpuashati dengan cara kerajaan mengendalikan pindaan terhadap undang-undang buruh, ini tidak bermakna ia terdesak menggunakan cara berkenaan untuk mencapai objektifnya.

“Kita adalah sebuah pertubuhan yang sangat matang dan semua tindakan kita diambil dengan sangat berhati-hati ketika merangka bagi memastikan kita berjaya dalam perjuangan kita untuk melindungi hak-hak 10 juta pekerja di negara," kata beliau.

Beliau menambah bahawa majlis MTUC mewakili semua gabungan, telah merangka satu pelan tindakan bagi memastikan pindaan itu tidak menghakis hak-hak pekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain