suria

PKR Singkir Pemimpin Lupa Diri - Anwar

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyingkirkan pemimpin dan wakil rakyat parti itu yang melupakan asas perjuangan demi mengejar kuasa dan pangkat.

Penasihat PKR itu juga dengan tegas mengingatkan agar wakil rakyat sedia ada supaya tidak merasa selesa dengan kedudukan sekarang kerana mereka berkemungkinan tidak akan dipilih semula bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

"Saya ingin memberi ingatan. Jangan kita andai semata-mata kita ingin ke Putrajaya dan mahu berkuasa, kita sanggup bersekongkol dan bertolak ansur dengan setiap ketelanjuran dikalangan pemimpin kita.

"Ada wakil rakyat menganggap dengan kuasa dan tugas mereka itu (sebagai alasan) boleh meninggal landasan perjuangan. Mereka tidak akan diberi watikah oleh Presiden.

"Saf kena jaga, siapa yang kianat kita singkir awal-awal. Jangan tolak ansur," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR ke-8 di sini, Ahad.

Malah Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kepimpinan tertinggi parti itu membuat penilaian dan penilitian rapi bagi memastikan calon yang bakal diletakkan pada PRU-13 akan datang benar-benar berkelayakan dan amanah.

Jelas beliau wakil rakyat sedia ada juga perlu bersiap sedia kemungkinan tidak dipilih semula sebagai calon jika kajian prestasi mendapati mereka gagal menjalankan tugas baik selepas PRU yang lalu.

"Semua wakil rakyat yang ada sekarang kena ingat, siapa kamu sebelum ini. Kalau anda tak dipilih untuk bertanding semula, kerjalah seperti mana orang lain kerja.

"Jangan ingat kamu boleh bertanding semula...tak ada sesiapa yang terkecuali termasuk saya. Tidak ada prinsip dalam PKR yang menjamin bahawa mereka akan tetap berada di kedudukan sekarang," katanya.

Tambah Anwar, perbincangan berhubung isu calon bukan hanya dibuat diperingkat kepimpinan tertinggi malah pemimpin akar umbi akan turut dirunding bagi memastikan kualiti calon yang dipertandingkan.

"Kita kena rombak sistem...cadangan kita terima. Sebahagian kita setuju, ada juga yang tak setuju.

"(Kepimpinan) negeri boleh runding, tapi kita juga kena tonjolkan dari cabang (runding)kerana cabang yang akan buat kerja (kempen)," katanya.

Artikel Lain