suria

Umno Terus Jadi Ruang Bicara Bagi Rakyat Bincang Masalah Besar - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Umno akan terus menjadi ruang bicara bagi rakyat membincangkan perkara besar dan serius untuk kebaikan negara, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Sebagai sebuah parti yang telah bertapak lebih 60 tahun dan menerajui pelbagai bidang serta berjaya memartabatkan agama, bangsa dan negara, beliau berkata, Umno akan terus menganjurkan pelbagai forum dan seminar ilmiah bagi membolehkan rakyat menyuarakan pandangan mereka.

"Umno akan terus berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Umno selaku tonggak dalam Barisan Nasional (BN) akan terus melakukan yang terbaik untuk rakyat," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada seminar kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau gembira kerana program anjuran Umno itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

Lebih 1,200 peserta hadir daripada pelbagai kumpulan masyarakat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), cendekiawan, agensi kerajaan dan juga daripada belia," katanya.

"Ia adalah permulaan yang baik bagi Umno mengadakan program intelektual, ilmiah sifatnya yang membincangkan perkara besar.

Kita tidak mahu Umno dilihat membincangkan perkara remeh dan enteng.

"Wasatiyyah tadi telah dirumuskan iaitu kesederhanaan, pertengahan, keseimbangan dan keadilan. Kita amat gembira sekali kerana pendekatan ini kini telah menjadi buah mulut global," katanya.

Beliau berkata, seminar seumpamanya akan diadakan di negeri-negeri dalam tempoh terdekat. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain