suria

Tugas UPP Diperluas, Jaga Pintu Masuk Di Seluruh Negara

BUKIT KAYU HITAM: Skop kawalan Unit Pencegahan Penyeludupan (UUP) akan diperluas ke pintu sempadan negara di bahagian selatan Semenanjung, Sabah serta Sabah dan tidak lagi semata-mata bertumpu di pintu masuk di Kedah, Perlis dan Kelantan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, ini dilakukan ekoran landskap atau senario jenayah khususnya yang membabitkan penyeludupan kini sudah berubah berbanding di awal penubuhan UPP pada 1976.

"Kalau dahulu hanya barangan asas seperti beras sahaja yang diseludup. Kini sudah ada penyeludupan manusia, dadah dan penggubahan wang haram berlaku di sempadan negara. "Peranan UPP pada masa kini hanyalah di pintu sempadan di Kedah, Perlis dan Kelantan. Selepas ini kita akan perluaskan peranannya ke pintu masuk lain di bahagian selatan, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan angggota Ikatan Relawan (Rela) di sini, Sabtu.

Mahmood menjelaskan cadangan untuk memperluaskan peranan UPP sudah berada di peringkat akhir kajian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, jika peranan UPP diperluaskan, kekuatan anggotanya mungkin ditambah ke dua hingga tiga kali ganda daripada jumlah sekarang.

Katanya, Strategi Lautan Biru yang diterapkan dalam menambah kekuatan UPP juga adalah langkah terbaik kerana ia tidak melibatkan pengambilan baru di samping tidak membabitkan kos yang tinggi.

Anggota tambahan boleh dipinjam dari pasukan polis, kastam dan imigresen, katanya.

Selain itu Mahmood berkata, wakil dari Bank Negara Malaysia mungkin diperlukan bagi menangani kes penggubahan wang haram, manakala bagi kes penyeludupan bintang, wakil dari Jabatan Perhilitan diperlukan. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain