suria

Tiga Lelaki Ditahan Selepas Samun Kafe Internet

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang lima jam sebelum itu disyaki merompak sebuah kafe internet di Brickfields 17 November lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 21 dan 22 tahun ditahan pada pukul 6.30 pagi di kawasan letak kereta sebuah stesen minyak di Bukit Jalil.

"Hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta, polis menemui sepucuk pistol mainan berwarna hitam bersama dua bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata polis turut menemui 13 telefon bimbit, seutas rantai emas, beberapa dompet, serangkai kunci kereta, Global Positioning System (GPS) dan wang tunai berjumlah RM1,054 yang dipercayai hasil samun di beberapa lokasi.

Mohan berkata ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 17 kes samun dan ragut di kawasan Cheras dan Brickfields.

Dalam satu kejadian lain, seorang lelaki berusia 28 tahun cedera ditikam di dada dan kaki dipercayai akibat cemburu ketika berada di sebuah restoran di Taman Midah di sini, Khamis.

Mohan berkata dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, mangsa diserang seorang lelaki dan hasil maklumat awam, polis menahan suspek berusia 33 tahun di sebuah restoran lain berhampiran lokasi kejadian dan merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian berpunca dari cemburu apabila teman wanita suspek didapati pernah keluar bersama mangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain