suria

Raja Muda Lawat Masjid Hijau Di Vietnam

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang kini dalam rangka lawatan empat hari ke Vietnam pada Sabtu mengunjungi Masjid Hijau di Ho Chi Minh City sempena sambutan Maal Hijrah. Menurut siaran media dikeluarkan di sini, ketibaan baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke masjid tertua di Vietnam terletak di daerah Phu Nhuan itu disambut Presiden komuniti Islam Ho Chi Minh City, Haji Idris Ismail.

Baginda berdua yang mengetuai 33 anggota rombongan diberi taklimat mengenai perkembangan kira-kira 72,000 anggota masyarakat Islam di Vietnam daripada keturunan Cham yang memiliki 64 buah masjid.

Daripada jumlah itu, seramai 5,456 penduduk Islam berada di bandar Ho Chi Minh City sahaja, dengan lapan buah masjid dan tujuh surau.

Pada majlis yang berlangsung di masjid yang terletak di Nguyen Van Troi road itu, anggota-anggota rombongan turut menyumbang keperluan masjid terbesar itu dengan sejadah dan wang tunai.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika bertitah di majlis itu menegaskan bahawa Islam tidak menolak untuk berbaik dengan penganut bukan Islam selagi ia membawa kebaikan bersama.

Titah baginda, hak menghormati sesama manusia perlu dipelihara tetapi soal akidah tidak boleh dikompromi.

Semalam baginda melancarkan promosi masakan Perlis di sebuah Restoran Halal@Saigon dimiliki seorang pengusaha kelahiran Malaysia, Dr Shimi Sumanthi Muthu Kunju yang lebih dikenali sebagai Dr Shimi di bandaraya itu.

Restoran yang beroperasi sejak tiga tahun lalu terletak di No 31 Dong Du Street, Daerah 1, Ho Chi Minh City dan promosi masakan itu berlangsung selama sebulan.

Promosi masakan itu bukan sekadar menonjolkan keenakan pelbagai makanan di Perlis tetapi juga memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan menerusi risalah disediakan di restoran itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain