suria

Pemuda & Puteri Umno Mesti Terus Bekerja Keras Ikut Cita Rasa Generasi Muda

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno masih belum berupaya secara berkesan untuk bertindak mengikut citarasa generasi muda.

Timbalan Presiden Umno itu berkata kedua-dua sayap parti itu perlu memberi lebih tumpuan terhadap usaha mempertingkatkan peranan dan tanggungjawab bagi memantapkan lagi peranan generasi muda di dalam parti itu.

"Saya tidak menafikan memang banyak program dan aktiviti yang mereka laksanakan tetapi sama ada itu dapat menyentuh perasaan dan jiwa generasi muda... adakah ia sesuatu yang memberi faedah kepada mereka?.

"Sebab itu, bagi saya tanggungjawab dan peranan Pemuda dan Puteri dalam soal ini harus diberi tumpuan lebih dalam tempoh bulan-bulan yang mendatang," katanya dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung Umno pada minggu depan, di sini, Jumaat. Perhimpunan Agung Umno ke-62 akan bermula Selasa ini dan berakhir pada 3 Disember.

Muhyiddin berharap generasi muda di dalam Umno mengambil kesempatan daripada Perhimpunan Agung Umno kali ini untuk mengetengahkan isu dan perbahasan berdasarkan kepada aspirasi generasi baru atau "Generasi Y", memandangkan hampir 40 peratus daripada pengundi yang ada di negara ini adalah daripada kelompok itu.

"Mereka (generasi muda) mahu melihat sama ada Pemuda, Puteri dan generasi baru dalam parti kita ini sebenarnya mewakili mereka.

Jadi, peranan Pemuda dan Puteri serta golongan muda dalam Pergerakan Wanita dalam situasi hari ini lebih kritikal berbanding dahulu.

"Mereka harus bahaskan kepentingan dan aspirasi generasi muda terutamanya dalam soal ketelusan, akauntabiliti, sama ada sesuatu yang dilakukan dapat memberi faedah kepada generasi muda, ini semua haruslah tercerna dalam mutu perbahasan yang akan mereka sampaikan dalam perhimpunan," katanya.

Muhyiddin juga berkata, tidak semua golongan muda dan profesional cenderung untuk menyokong parti pembangkang, tetapi tidak menolak wujud sebilangan kecil generasi muda Melayu yang lebih liberal dan lantang bersuara, menolak agenda yang disifatkan "terlampau Melayu dan rasis".

Katanya, golongan itu tidak harus diketepikan, sebaliknya mereka perlu diberi kebebasan untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka.

"Bagi saya perbezaan itu perlu kita terima, kita tidak boleh menganggap ini sesuatu yang tidak baik. Kalau boleh 'engage' (libatkan) dengan mereka dalam pelbagai forum, kita tidak boleh berjauhan dengan mereka, kita anggap itulah pemikiran mereka dan harus kita hormati dan kalau ada peluang kita perjelaskan rasional dasar dan pendekatan kita, saya percaya mereka juga akan faham," katanya.

Mengenai pemimpin pelapis, Muhyiddin berkata meskipun Umno mempunyai pemimpin pelapis yang mampu mengambil alih pucuk pimpinan, tetapi pada masa sama, Umno mesti bersikap terbuka, khususnya dalam membuka pintu kepada golongan profesional untuk menyertai parti dengan memberi ruang dan peluang tanpa mengenakan sekatan.

Katanya, masyarakat kini menilai kepimpinan dan ketokohan seseorang tanpa mengambil kira parti.

"Mereka hendak tengok siapa wakil, kalau hendak jadi calon, siapa calonnya. Bukan setakat boleh menang, tetapi mesti diterima, berkredibiliti, bijak, pandai, bahasa bagus, itulah penilaian yang orang Melayu buat hari ini, kita tidak boleh abaikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain