suria

Lelaki Cedera Dan Kerugian RM20,000 Disamun

GEORGE TOWN: Seorang lelaki cedera dan mengalami kerugian kira-kira RM20,000 akibat disamun dua lelaki ketika sedang meletakkan keretanya di Jalan Perangin, di sini, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superitendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, penyamun berkenaan yang bersenjatakan parang telah memecahkan cermin tingkap kereta dan menetak lengan dan badan mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu.

Katanya, penyamun itu kemudian merampas wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM20,000 daripada mangsa yang berusia 40-an itu.

"Kejadian pantas itu menyebabkan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu meminta pertolongan orang ramai sebaik suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

Ahmad Bakhtiar berkata, modus operandi dua lelaki berkenaan ialah berpura-pura meletakkan kenderaan berhampiran kereta mangsa sebelum bertindak menyerbu dan menyamun mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat berhampiran tempat kejadian berjaya merakamkan kejadian berkenaan dan polis sedang memburu dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, katanya seorang warga emas ditemui mati di bilik tidur rumahnya di Taman Minden Height, Changkat Menden Jalan 12, di sini malam Jumaat.

Mayat Yeoh Teik Eng, 69, yang sudah hampir reput ditemui pada kira-kira 8 malam Jumaat selepas jirannya menghubungi polis setelah curiga dengan bau busuk dari rumah itu, katanya.

"Sepasukan anggota polis yang tiba ke tempat kejadian mendapati pintu rumah mangsa berkunci dan panggilan tidak bersahut lalu menghubungi pihak bomba yang bertindak memecahkan pintu rumah Yeoh," katanya.

Ahmad Bakhtiar berkata, pihak bomba mengambil masa yang lama iaitu kira-kira empat jam bagi mengeluarkan mayat mangsa ekoran keadaan mayat yang hampir reput. Katanya, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain