suria

Kelab Umno Luar Negara Perlu Jadi Pasukan Pertama Bantu Rakyat Malaysia Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kelab Umno Luar Negara (KULN), yang mempunyai rangkaian yang luas di luar negara, perlu menjadi pasukan pertama tiba membantu rakyat Malaysia di luar negara yang memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang, kata Pengerusi KULN Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, kelab itu yang kini mempunyai 74 cawangan di seluruh dunia perlu menggunakan kelebihan rangkaian mereka membantu rakyat Malaysia dengan lebih pantas.

"Rangkaian mereka dari segi menghubungi pelajar satu dunia lebih kuat, kerajaan pun tak dapat mengatasinya, maknanya kerajaan ada jabatan penuntut misalnya di United Kingdom mungkin hanya dua atau tiga (orang)...manakala sistem kedutaan hanya wujud di ibu kota.

"Tapi KULN ada 74 di satu dunia, di bandar-bandar kecil pun ada, sekecil-kecil St Petersburg (Russia) pun ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kursus kepimpinan dua hari KULN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan juga berkata kelab itu kini tidak lagi dilihat sebagai satu agenda politik tetapi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang paling berkesan sekali merangkaikan pelajar-pelajar Malaysia di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Luar Negara Umno meminta warga kelab itu tidak mengabaikan penghayatan konsep transformasi negara yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun mereka berada di luar negara.

Beliau berkata, pemahaman prinsip-prinsip itu di samping kesediaan mereka menghadapi cabaran dunia yang semakin liberal akan melahirkan ciri-ciri pemimpin yang lebih mantap.

"Mereka mesti bersedia untuk berhadapan dengan suasana dan dunia yang lebih liberal, maknanya kalau dulu ada banyak sekatan-sekatan (penulisan di internet dan pindaan AUKU 1974) yang dikenakan, tetapi sekarang sekatan itu beransur pulih.

"Jadi sekarang mereka perlu lebih bersedia untuk mempunyai kelebihan dan kekuatan dari segi intelektual, dari hujah, gerak kerja, kebajikan dan juga kepimpinan,"katanya. Katanya, kesediaan mereka dalam menjadi pemimpin negara juga akan membantu proses meremajakan Umno yang memerlukan bakat kepimpinan dapat dikesan dengan lebih awal. - BERNAMA

Artikel Berikut

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan

Artikel Lain