suria

Tuanku Mizan Dijadualkan Sempurnakan Perasmian Sambutan Maal Hijrah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual berangkat menyempurnakan perasmian sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat kebangsaan yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah", Ahad ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam satu kenyataan di sini Jumaat, berkata Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut dijadual berangkat ke majlis yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.

Majlis juga dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta anggota Kabinet dan duta luar negara.

Tema "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" itu selaras dengan usaha kerajaan yang mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama serta saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah supaya matlamat negara maju menjelang 2020 dapat direalisasikan, kata kenyataan itu.

Sebanyak 122 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan menyertai perhimpunan itu yang membabitkan 4,500 penyertaan, kata kenyataan itu.

Pada majlis itu, dua individu akan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Tokoh Peringkat Antarabangsa yang masing-masing akan menerima wang tunai RM100,000, plak, pingat dan sijil penghargaan.

Sambutan Maal Hijrah kali ini juga akan dipenuhi pelbagai program termasuk Forum Perdana Khas Maal Hijrah yang membincangkan tajuk "Luruskan Saf", serta majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara esok. - BERNAMA

Artikel Lain