suria

Tiga Terbunuh, Dua Parah Kemalangan Di Perak

IPOH: Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan bertembung dengan treler di Jalan Bota-Kampung Gajah dekat Perak Tengah Khamis.

Mereka yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta itu Samuddin Itam, 60, isterinya Daimah Lun, 54, dan cucu mereka Nurul Ayuni Helmi, 6, manakala dua lagi cucu mereka Mohd Danial Mohd Helmi, 5, dan adiknya Nurul Izati, 3, cedera parah.

Mohd Danial kini dirawat di Hospital Changkat Melintang dan Nurul Izati di Hospital Permaisuri Bainun.

Ketua Polis Trafik Perak Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, kereta Proton Saga yang dinaiki keluarga itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.

"Kereta itu terbabas dan bertembung dengan lori treler yang datang dari arah bertentangan. Pemandu treler hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kesemua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat. - BERNAMA

Artikel Lain