suria

Tiga Lelaki Terlibat Samun Bersenjata Di Jengka Ditahan

MARAN: Polis menahan tiga lelaki rakyat asing yang disyaki terlibat dalam kejadian samun yang menyebabkan tiga beradik dan seorang anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) cedera ditetak di Felda Jengka 10 di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Ahmad Johari Shahabuddin berkata kesemua mereka yang berumur antara 24 hingga 29 tahun itu ditahan hasil kerjasama dan maklumat orang awam.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan ketika bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit oleh sepasukan polis diketuai Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Maran Insp Abdul Jalil Aziz tidak lama selepas kejadian," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata polis menemui semula barangan milik mangsa yang dilarikan termasuk telefon bimbit, jam tangan, wang tunai dan komputer riba yang keseluruhan bernilai RM9,000.

Ahmad Johari berkata polis percaya tangkapan itu berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata di sekitar Jengka.

Dalam kejadian 3 pagi Rabu, tiga beradik Mohd Shahidi Ismail, 23, serta dua adiknya, Mohd Faiz, 20, dan Hafiz, 16, cedera di kepala dan badan selepas bergelut dengan sekumpulan lelaki yang memasuki rumah mereka.

Seorang anggota SRS, Saiful Amri Kamarudin, 29, turut cedera dipercayai ketika cuba menahan penjenayah terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain