suria

Tak Perlu Robohkan Tembok Penjara...

KHABARNYA di Johor Baharu, Konvensyen Nasional PKR yang sedang berlangsung telah digegarkan dengan ikrar YB Azmin Ali serta Cabang Pemuda dan Wanitanya bahawa mereka sanggup merobohkan tembok penjara sekiranya itu yang diperlukan untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Jika apa yang dilaungkan oleh Azmin yang juga merupakan kawan penulis itu benar maka apakah boleh kita tafsirkan bahawa PKR mengalu-alukan perbuatan anarki berleluasa di negara ini jika mereka tidak dapat mengatasi undang-undang yang sedia ada?

Ah tapi oleh kerana yang melaungkannya adalah orang politik, maka sukalah penulis pun melihatnya dari sudut politik.

Maka bolehlah kita tafsirkan lagak ini adalah lagak retorik seorang ahli politik untuk membakar semangat ahli-ahli mereka.

Hakikatnya, mana boleh sebuah parti politik mengambil kuasa undang-undang di tangan mereka sendiri dengan mengajak ahli-ahli merobohkan tembok penjara hanya untuk membebaskan pemimpin mereka.

Jadi ini hanyalah sekadar satu metafora untuk membakar semangat ahli-ahli PKR.

Mesej utama Azmin di sebalik kata-kata itu ialah jika tidak mahu Anwar dipenjarakan dan jika mahu Anwar menjadi perdana menteri, mereka (PKR) mestilah memenangi pilihan raya umum yang ke-13 terlebih dahulu.

Namun itu pun sekadar satu andaian semata-mata kerana Anwar bukan pun berada di belakang penjara sekarang dan tidak mungkin akan sempat berada di belakang penjara (jika didapati bersalah dalam kes yang sedang dibicarakan sekarang) kerana pilihan raya umum mungkin akan diadakan pada bila-bila masa sahaja tahun hadapan.

Realitinya, PKR harus mendapat mandat daripada rakyat terlebih dahulu sebelum boleh meletakkan Anwar di Seri Perdana.

Tanpa mandat, bukan kata nak robohkan tembok penjara pun mereka tidak boleh, tetapi nak melangkah masuk ke Seri Perdana pun tak boleh.

Artikel Lain