suria

Semua Pihak Perlu Terbabit Dalam Bantuan Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah pada Jumaat, menggesa semua pihak tanpa mengira latar belakang mereka supaya memberikan bantuan sepatutnya dalam apa juga cara bagi menjamin keselamatan manusia di seluruh dunia.

Menyatakan bantuan bukan lagi menjadi tanggungjawab tunggal sesebuah kerajaan, organisasi atau perbadanan tetapi juga setiap individu, baginda bertitah setiap individu di seluruh dunia patut mempunyai perasaan "bebas ketakutan" atau 'bebas kemahuan'.

"Bagi beta ini bermaksud ia membolehkan seseorang itu tidak berdepan ancaman atau kehilangan nyawa, hidup merdeka. Pendek kata, keselamatan kemanusiaan membolehkan orang ramai berasa yakin dengan keadaan semasa atau masa depan," titah baginda dalam ucapan pada Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa 2011 anjuran Mercy Malaysia di sini.

Raja Nazrin juga menegaskan keselamatan manusia pada hari ini bukan semata-mata mengenai bebas daripada perang sahaja tetapi juga mengenai kemampuan untuk bangkit semula daripada kejadian bencana alam.

"Punca bagi manusia untuk merasa tidak selamat kini semakin berganda. Paling tidak pun, kejadian bencana alam, perubahan corak cuaca dan pandemik telah menjejaskan hidup manusia sejak dekad lepas yang telah memberi ruang kepada kita untuk berfikir sejenak mengenai apakah asas yang perlu digunakan untuk jaminan keselamatan," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa wang bukan satu-satunya penyelesaian untuk meringankan krisis kemanusiaan, tetapi ia juga bergantung kepada perancangan, penyelidikan, penyusunan dan pelaksanaan secara teliti.

"Siapa pun pasti tidak dapat lupa, kemusnahan teruk akibat kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda kawasan Tohuku di Jepun pada Mac tahun ini, penduduknya sama ada tua dan muda menghadapinya dengan penuh sabar dan berdisiplin? Daripada merungut, masyarakat dan individu di Jepun saling bekerjasama menyumbangkan tenaga untuk usaha pemulihan.

"Dapat dikatakan bahawa kewangan semata-mata pastinya tidak dapat memupuk budaya daya tahan, sukarelawan dan sanggup berkorban seumpama itu," titah baginda.

Dalam konteks di Malaysia, Raja Nazrin memuji peranan Mercy Malaysia dalam menjayakan misi kemanusiaan di seluruh dunia sejak sekian lama, menyatakan kerajaan wajar memberikan pengiktirafan kepada mereka sebagai badan kemanusiaan contoh di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain