suria

Rakyat M'sia Yang Dikatakan Hilang Sewaktu M'sia Lwn Indonesia Isnin Lepas Sebenarnya Tidak Hilang

KUALA LUMPUR: Berita tentang kehilangan seorang rakyat Malaysia bernama Ahmad Firdaus Arham ketika menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta yang luas tersebar di laman sosial 'Facebook' dan 'Twitter' semalam hanya merupakan satu salah faham.

Berita mengenai kehilangan Ahmad Firdaus, 26, mula menjadi bualan ramai selepas Kedutaan Malaysia di Jakarta menerima beg dompetnya yang ditemui di dalam stadium ketika perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia, Isnin lalu.

"Saya agak terkejut dengan berita ini, sebabnya saya hanya tahu tentang isu mengenai diri saya melalui berita semalam.

"Orang sibuk bercerita dekat twitter dan facebook mengenai saya hilang sedangkan saya tidak hilang, hanya dompet yang hilang dan saya selamat sampai di Malaysia pagi semalam," katanya ketika dihubungi Bernama Radio 24 pada Khamis.

Beliau tidak mengetahui bagaimana dompetnya ditemui di dalam stadium berkenaan tetapi mengandaikan orang yang mencuri dompetnya kebetulan menyaksikan perlawanan itu.

Ahmad Firdaus yang juga pembantu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Jamu Mak Dara berkata, kejadian sebenar berlaku adalah pada malam Sabtu yang lepas.

"Ketika membeli-belah bersama wartawan hiburan di Mangga Dua, Jakarta, saya sedar ada seorang pemuda memerhatikan saya tetapi saya tidak mengambil peduli kemudian tiba-tiba saya lihat pemuda itu terus lari.

"Dan saya tidak perasan yang dompet saya telah pun dicuri. Hanya ketika hendak membeli makanan baru saya perasan dompet sudah hilang," katanya lagi.

Jelasnya, selepas kejadian itu, beliau ada membuat laporan di pejabat pengawal keselamatan di pusat membeli-belah tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum balas yang positif.

"Saya agak sedih dengan tindakan pengawal tersebut apabila memberitahu, saya masih mempunyai pasport dan tiket perjalanan pulang serta tidak perlu lagi membuat laporan berhubung kehilangan dompet itu.

"Saya difahamkan oleh pihak kedutaan jika mengalami masalah sebegini lagi, rakyat Malaysia sepatutnya terus melaporkan ke Kedutaan Malaysia sahaja," katanya.

Artikel Lain