suria

Pindaan AUKU Mungkin Buka Ruang Mahasiswa Pegang Jawatan Politik

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti bakal memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergerak aktif dalam politik termasuk kemungkinan memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi pindaan berkenaan dengan jelas memberi tafsiran terhadap kebenaran berpolitik bagi mahasiswa.

"Pindaan bagi seksyen ini adalah terbesar membabitkan pelajar dan politik.

"Ia sangat spesifik, sebelum ini maksud berpolitik itu tidak jelas. Tapi hari ini dijelaskan bahawa mereka boleh jadi ahli parti.

"Jadi bila sudah menjadi ahli, maka mereka ada hak dalam parti...jadi ia akan berterusan," katanya di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa membentangkan usul pemansuhan Proklamasi Darurat bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 AUKU bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli mana-mana parti politik.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, pindaan akta itu akan dibuat secepat mungkin dengan menubuhkan pasukan petugas bagi melihat pindaan-pindaan yang perlu dibuat.

"Ini biasanya terdiri daripada kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Peguam Negara, itu adalah prosedur biasa," katanya.

Dalama pada itu Saifuddin berkata, keputusan kerajaan untuk meminda seksyen itu menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf hak yang dijamin oleh perlembaagan negara untuk mahasiswa menjadi ahli dalam politik.

"Ini juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar suara dari orang muda khususnya mahasiswa yang meminta supaya mereka yang ingin terlibat dalam politik harus dibenarkan.

"Ia juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa melakukan pembaharuan...pindaan yang awal sudah dibuat pada Februari 2009, dan kali ini akan berlaku satu lagi pindaan yang lebih besar dan komprehensif," katanya.

Artikel Lain