suria

Pindaan AUKU: Apa Kata KJ & Hishamuddin Rais Si Aktivis Pelajar

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Universiti Kolej adalah satu transformasi besar Barisan Nasional (BN) dalam melakukan perubahan.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, pindaan tersebut sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal Khamis adalah sebahagian daripada beberapa agenda yang telah dikemukakan oleh Pemuda BN kepada kerajaan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana ia adalah sebahagian daripada permintaan kami kepada kerajaan iaitu untuk memberi kebebasan berpolitik kepada para mahasiswa.

“Keputusan kerajaan hari ini untuk meminda akta ini membuktikan bahawa suara kami telah didengari oleh perdana menteri," ujarnya dalam satu sidang akhbar, Khamis.

Perdana Menteri pada Khamis telah mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli mana-mana parti politik.

Bagaimanapun Najib berkata, pindaan bagi seksyen berkenaan tetap tegas tidak membenarkan politik kepartian dibawa masuk ke dalam kampus institusi pengajian tinggi.

"Pindaan ini selaras bagi menghormati hak perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi yang rata-ratanya telah mencapai umur baligh undang-undang," katanya ketika membentangkan usul pemansuhan Proklamasi Darurat dan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat di sini.

Bagaimanapun mengenai satu lagi akta baru yang dibentangkan oleh perdana menteri, Khairy berpandangan pihaknya mengharapkan satu undang-undang yang tidak begitu menyekat.

Namun begitu pada masa yang sama, beliau berpendapat, ia adalah jauh lebih baik dari segi pembaharuan berbanding Akta Polis 1967 berhubung kebebasan berhimpun.

Menurut Khairy, rang undang-undang yang dibentangkan itu adalah jauh lebih baik berbanding dahulu khususnya dalam menghadkan kuasa polis.

Bagaimanapun beliau memahami rasa kecewa pelbagai pihak berhubung protes atau demonstrasi jalanan.

“Protes jalanan khususnya pergerakan di jalan raya boleh menimbulkan kerumitan. Apa yang penting di sini ialah menyeimbangkan di antara hak-hak sivil dan juga menghormati hasrat mereka yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada demo," katanya.

Dalam pada itu, aktivis sosial dan politik, Hishamuddin Rais berkata sementara beliau mengalu-alukan keputusan untuk meminda Seksyen 15 AUKU, beliau pada masa yang sama berpendapat, keseluruhan AUKU itu patut dihapuskan sama sekali.

“Pada saya keseluruhan akta itu adalah satu halangan atau sekatan ke atas pembangunan intelektual mahasiswa itu sendiri dan juga generasi muda di negara ini,” kata Hishamuddin.

AUKU menurut Hishamuddin adalah bertentangan dengan tujuan universiti itu sendiri.

“Universiti sepatutnya menjadi tempat untuk seseorang mengembangkan potensi diri. Ia sepatutnya membantu mahasiswa untuk maju bukan sekadar akademik tetapi juga secara holistik. Kehadiran akta itu dengan segala halangan dan kekangan telah menyekat pertumbuhan sebenar mereka sebagai seorang manusia," katanya.

Menurut aktivis itu lagi, semasa beliau di universiti, jauh sebelum AUKU diperkenalkan, persatuan pelajar dibenarkan menguruskan pelbagai tanggungjawab dari mengendalikan perkhidmatan bas, hostel, kafetaria malah urusan percetakan di universiti.

"Kami dibenarkan memungut yuran dan jauh lebih bebas dan berdikari berbanding sekarang,” kata Hishamuddin.

Bagaimanapun katanya, selepas AUKU diperkenalkan hampir kesemua hak pelajar ditarik balik.

"Kami kehilangan hak untuk berunding dan membuat tuntutan. Masyarakat universiti sekarang perlu merayu kepada universiti setiap kali mereka memerlukan dana. Ini caranya gerakan mahasiswa diikat.

“Jadi akta ini adalah bertentangan dengan semangat persatuan atau gerakan pelajar itu sendiri dan menjejaskan hak pelajar. Namun begitu saya tidak pernah bertukar menjadi pembunuh bersiri atau seorang yang bodoh walaupun saya menentang akta ini. Saya masih lagi menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang bertamadun,” jelas Hishamuddin.

Beliau yang merupakan aktivis persatuan pelajar di Universiti Malaya sebelum melarikan diri pada tahun 1974 apabila kerajaan bertindak ke atas gerakan pelajar yang membantah tentang kemiskinan Baling telah kembali ke tanah air pada tahun 1994.

Artikel Lain