suria

Peniaga Diarah Bela Diri Atas Tiga Tuduhan Termasuk Cubaan Membunuh

PETALING JAYA: Seorang peniaga diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, terhadap tiga pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan, cubaan membunuh dan melakukan khianat dengan membakar sebuah kenderaan milik seorang mekanik.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chou Lee Kong, 39, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Jan depan sebagai tarikh bela diri.

Pertuduhan dibuat masing-masing mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, Chou bersama empat orang lagi yang masih bebas, didakwa dengan sengaja memukul Seah Kwee Gin, 34, di bahagian muka dan kaki kiri dengan menggunakan sebatang kayu dan botol kaca.

Bagi pertuduhan kedua, Chou didakwa cuba membunuh Seah dengan menggunakan alat yang sama dan bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan khianat dengan membakar kereta jenis Hyundai Sonata milik mangsa. Dia didakwa berbuat demikian di tepi sungai Batu 14, Puchong, pada 11 malam, 23 Mei 2009.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen dan Nur Aishah Zakiuddin manakala Chou diwakili peguam D.Vasu. - BERNAMA

Artikel Lain