suria

Naib Presiden SPSP Dipecat Kerana Menentang Parti

KUCHING: Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Sylvester Entri dipecat daripada parti itu pada Jumaat, kerana kesalahan menentang parti, demikian diumumkan oleh Presiden SPDP Tan Sri William Mawan.

Beliau adalah juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Marudi.

Empat pemimpin yang menyokong beliau terdiri naib presiden kanan dan Adun kawasan Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, naib presiden dan Anggota Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, ketua penerangan yang juga Adun Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, dan anggota majlis tertinggi parti dan Adun kawasan Bekenu, Rosey Yunus, dianggap tidak lagi memegang jawatan parti.

"Hari ini merupakan hari paling sedih dalam kerjaya politik saya. Selepas melalui proses dan perbincangan dengan Majlis Tertinggi, saya dengan rasa sedih, mengumumkan bahawa Entri bukan lagi anggota SPDP buatkuasa serta merta," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi SPDP selama jam di ibu pejabat parti di sini.

Mesyuarat itu juga menetapkan bahawa Dr Tiki tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding di Mas Gading kerana beliau bukan daripada kalangan "calon boleh menang", kata Mawan.

Mawan berkata Entri dan kumpulannya sering menjauhkan diri daripada parti dengan tidak menghadiri mesyuarat-mesyuarat majlis tertinggi selain sentiasa menyerang serta mencabar dan memperkecilkan kepimpinan beliau menerusi akhbar.

Dengan mengisytiharkan bahawa surat tunjuk sebab yang diberikan oleh parti kepadanya sebagai tidak lagi relevan dan dengan mengetepikan proses perlembagaan parti, Entri telah memilih untuk memutuskan hubungannya dengan parti, kata beliau.

"Tindak tanduk ini mencetuskan ketegangan dan kebimbangan dalam kalangan anggota parti, malah menggugat kedudukan parti," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau dalam keadaan dilema untuk bertindak terhadap Entri, Mawan berkata:

"Saya lakukan ini bukan kerana dendam peribadi tetapi didorong oleh rasa tanggungjawab."

Sambil menyifatkan Entri sebagai berpotensi menjadi Presiden, Mawan berkata beliau telah membimbing Entri untuk menerajui parti suatu hari nanti.

Mengenai kedudukan Entri dalam kerajaan Sarawak sebagai Menteri Muda Bagi Bekalan Air dan Pertanian, Mawan berkata itu terpulang kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya beliau akan membantah sebarang langkah oleh Entri untuk menyertai atau diterima sebagai anggota mana-mana BN Sarawak.

Mawan berkata beliau menganggap episod itu sebagai sudah berakhir dan mahu agar SPDP terus melangkah ke hadapan secara bersepadu dan fokus ke arah memastikan kejayaan BN.

"Dalam hal ini, saya ingin memohon maaf kepada pemimpin BN di peringkat negeri dan pusat dan berharap mereka bersabar dan faham kedudukan kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain