suria

Mahkamah Tangguh Keputusan Permohonan Khairy Batalkan Saman Anwar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, membenarkan permohonan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagi mengemukakan hujah selanjutnya untuk permohonan membatalkan saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar terhadap beliau.

Mewakili Khairy, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Hue Siew Kheng menangguhkan keputusan itu yang dijadualkan hari ini atas permintaannya (Muhammad Shafee), oleh kerana beliau perlu mengemukakan hujah selanjutnya tentang permohonan itu.

Muhammad Shafee berkata mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk mendengar hujah selanjutnya oleh kedua-dua pihak.

Peguam Sulaiman Abdullah dan J.Leela mewakili ketua pembangkang itu.

Khairy memfail permohonan pada 21 Februari tahun ini, dengan berkata bahawa saman itu adalah remeh, menimbulkan gangguan dan salah guna proses mahkamah.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar, 64, memfail saman terhadap Khairy, dengan mendakwa beliau, selaku naib ketua Pemuda Umno ketika itu, telah melahirkan kata-kata fitnah dan menghasilkan tulisan di laman web, termasuk Malaysiakini.com, dan klip video bertajuk "Anwar and kin no threat" (Anwar dan waris bukan ancaman).

Anwar mendakwa klip video di Malaysiakini.com mengandungi kata-kata fitnah diucapkan oleh Khairy pada "ceramah" di Lembah Pantai di sini pada atau kira-kira 20 Februari 2008.

Anwar berkata kata-kata fitnah itu, antara lain, membawa maksud beliau terlibat dalam aktiviti yang bertentangan dengan Islam, tidak mempunyai perilaku baik dan tidak layak memegang jawatan politik dan jawatan lain.

Khairy, dalam kenyataan pembelaan yang difail pada 8 Oktober tahun lepas berkata beliau bergantung pada pembelaan kewajaran dan perlindungan bersyarat. - BERNAMA

Artikel Lain