suria

Tindakan Tegas Terhadap Pemaju Perumahan Jika Projek Terbengkalai

Oleh P. ARUNA

PETALING JAYA: Hampir 5,000 pengarah syarikat pemaju perumahan dan lebih 1,000 pemaju telah disenaraihitamkan atas pelbagai kesalahan, termasuk lambat atau gagal menyiapkan projek sejak tahun 2007.

Bagaimanapun, bermula Mac depan, sesiapa yang didapati bersalah atas dua kesalahan itu bukan sahaja akan disenaraihitamkan, tetapi juga boleh dikenakan hukuman denda atau penjara.

Pindaan terhadap Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 yang dijangkakan akan diluluskan dalam sidang Parlimen memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya terhadap pemaju yang gagal meneruskan projek hingga menyebabkan ia terbengkalai.

Sehingga 1 November lalu, seramai 1,308 pemaju dan 4,703 pengarah pemaju perumahan telah disenaraihitamkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, pindaan tersebut hanya akan berkuatkuasa untuk individu-individu yang melakukan kesalahan seperti itu di masa hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata kepada The Star pada Rabu:

“Kita berharap pindaan tersebut akan diluluskan pada sidang Parlimen kali ini agar dapat dikuatkuasakan pada Mac depan.

“Pengarah syarikat pemaju juga disenaraihitamkan kerana kita tidak mahu mereka menubuhkan syarikat baru dengan menggunakan nama yang berlainan.”

Chor menambah, pemaju yang disenaraihitamkan tidak akan diberikan lesen untuk projhek-projek lain.

“Tetapi, mereka akan dikeluarkan daripada senaran tersebut jika mereka sudah menyelamatkan projek mereka atau menyelesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi,” katanya dan menambah, senarai itu akan sentiasa dikemaskini bagi memberi maklumat kepada pembeli.

Kemeterian tersebut sebelum ini dilaporkan telah memulihkan 83 daripada 167 projek perumahan yang diisytiharkan terbengkalai yang memberi manfaat kepada 9,278 pembeli.

Chor juga memberitahu, usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan lagi 62 projek yang terbengkalai.

Pada Belanjawan 2012, RM63 juta diberikan untuk memulihkan semula projek termasuk yang melibatkan 1,270 buah rumah.

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain