suria

Polis Berkas Empat Lelaki Samun Kedai Ayamas

KAJANG: Empat lelaki yang menyamun sebuah kedai Ayamas sebanyak dua kali dalam tempoh 72 jam di Bandar Makhota, Cheras di sini akhirnya dicekup polis di sebuah rumah di sekitar sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata keempat-empat mereka yang berumur sekitar 20-an ditahan bersama dua buah motosikal curi, rangka motosikal jenis 125Z, sebuah kereta serta peralatan pecah rumah.

"Kesemua mereka melakukan samun di kedai Ayamas itu selang sehari sahaja iaitu kejadian pertama pada 14 November lalu pukul 6.30 petang yang mengakibatkan kerugian RM400 dan kejadian kedua pada 16 November pukul 7.30 petang dengan kerugian RM2,000," katanya.

Abdul Rashid berkata kesemua mereka, tiga antaranya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan pecah rumah menyamun kedai berkenaan dengan mengacukan parang kepada pekerja di kaunter sebelum membawa lari wang tunai.

"Bagaimanapun kesemua suspek tidak mencederakan mangsa," katanya sambil menambah kesemua suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata, katanya.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menangkap dua lelaki yang aktif menyamun beg tangan yang selalunya diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu.

"Dua remaja berumur 17 dan 19 tahun itu kita tangkap di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini selepas menerima laporan mengenai kejadian itu pada 27 Oktober lepas. Tangkapan pertama dilakukan pada keesokan harinya iaitu pada 28 Oktober dan tangkapan kedua pada 29 Oktober.

"Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku telah melakukan sekurang-kurangnya 10 kes samun beg tangan dengan cara menggunakan palam pencucuh yang telah diubah suai sebelum memecah cermin sebelah pemandu yang meletakkan beg tangan mereka di atas kerusi (tempat duduk) atau," katanya.

Abdul Rashid berkata mereka mengaku telah melakukan aktiviti itu sejak Jun tahun ini.

"Modus operandi mereka adalah dengan memerhatikan pemandu di stesen-stesen minyak atau di mana-mana lokasi, di mana mangsa masuk ke dalam kereta atau berhenti di lampu isyarat lalu mereka memecahkan cermin sebelah pemandu untuk mengambil beg tangan yang diletakkan di atas kerusi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain