suria

Kerajaan Iktiraf Hak Mahasiswa Sertai Parti Politik

KUALA LUMPUR: Keputusan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf hak dijamin perlembagaan untuk mahasiswa terlibat dalam politik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ia membuktikan kerajaan sentiasa mendengar suara orang muda khususnya mahasiswa yang meminta supaya mereka yang ingin terlibat dalam politik harus dibenarkan.

"Ia membuktikan bahawa kerajaan sentiasa melakukan pembaharuan...pindaan yang awal sudah dibuat pada Feb 2009, dan ini akan berlaku satu lagi pindaan yang lebih besar dan komprehensif," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Khamis.

Menurut Saifuddin, Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 yang akan dipinda itu membawa perubahan yang lebih bermakna terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik negara secara menyeluruh.

Katanya, sebelum ini tidak ada maksud jelas sejauh mana pelajar universiti yang cukup umur 21 tahun dibenarkan berpolitik tetapi hari ini, ianya sudah jelas.

"Hari ini dijelaskan maksud berpolitik ialah boleh menyertai parti politik, bila dah jadi ahli politik adalah pula hak dia dalam parti politik, dari situ ia akan berterusan selanjutnya," kata Saifuddin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan usul pemansuhan Proklamasi Darurat dan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda akta itu bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli mana-mana parti politik.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata pindaan akta itu akan dibuat secepat mungkin dengan menubuhkan pasukan petugas bagi melihat pindaan yang perlu dibuat.

"Ini biasanya kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dengan Peguam Negara, ia prosedur biasa...mereka akan duduk berbincang secepat mungkin meneliti bagaimana akta itu akan dipinda," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain