suria

KDN Tubuh Kumpulan Kerja Pantau Isu-Isu Penuntut Antarabangsa - KSU

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan kerja di bawah urusetia Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditubuh untuk memantau isu-isu penuntut antarabangsa di negara ini.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata, penubuhan kumpulan kerja itu adalah antara inisiatif yang dikenal pasti Unit Khas Pas Pelajar yang ditubuhkan kerajaan pada 31 Oktober lepas sebagai satu tindakan bersepadu antara agensi untuk menangani isu berkaitan penuntut dari luar negara.

"Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa (KKPPA) ini akan bersidang setiap bulan untuk membincangkan status dan isu-isu pelajar antarabangsa, mengenal pasti tindakan penambahbaikan dan penyelesaian isu berbangkit serta menggariskan tindakan bagi mengawal dan membendung penyalahgunaan pas oleh pelajar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Unit khas itu dianggotai antara lain oleh KDN, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran.

Ia telah bermesyuarat pada 3 dan 9 November lepas.

Kementerian Pengajian Tinggi menjadi agensi kawal selia bagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta manakala Kementerian Pelajaran ialah agensi kawal selia bagi institusi pengajian swasta, pusat bahasa dan sekolah antarabangsa.

JPK pula bertanggungjawab untuk pusat bertauliah.

"Kerjasama dari pihak yang memproses dan memperaku permohonan dengan pihak yang memberi kelulusan akan dimantapkan bagi memastikan hanya permohonan yang layak diperaku dan diluluskan," kata Mahmood.

Beliau berkata, semua kementerian dan agensi terlibat akan memastikan wujud kerjasama dan perkongsian maklumat yang mantap sesama mereka supaya pengambilan penuntut antarabangsa dapat dibuat dengan lebih berkesan tanpa menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Mahmood berkata, usaha akan dibuat untuk mengumpul statistik dan laporan berkaitan jumlah penuntut antarabangsa yang terlibat dalam kegiatan negatif termasuk bilangan tangkapan dan bilangan yang dikenakan tindakan undang-undang dan disabitkan kesalahan, serta bilangan yang disenarai hitam.

Unit khas itu akan mengendalikan lawatan naziran secara bersepadu dan berkala bagi memastikan setiap institusi mematuhi semua akta dan peraturan yang berkaitan serta tidak menyalahgunakan kelulusan pengambilan penuntut antarabangsa.

Selain itu, unit khas berkenaan akan turut menyelaras Prosedur Operasi Standard (SOP) antara KDN, KPT, Kementerian Pelajaran, Jabatan Imigresen dan JPK bagi memastikan tiada pertindihan bidang tugas dan memastikan kerjasama di antara agensi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain