suria

Geng Waja Yang Dianggotai Seorang OKU Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kumpulan curi kereta 'Geng Waja' berikutan penahanan tiga anggota kumpulan itu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) di sekitar Seri Kembangan pada Isnin lepas.

Kumpulan itu dikatakan aktif dalam kegiatan mecuri kereta di sekitar Seri Kembangan sejak beberapa bulan lepas dan dianggotai tiga lelaki berumur dalam lingkungan 30-an termasuk OKU yang cacat kaki dan menggunakan 'walker' yang bertindak sebagai 'mata-mata' ketika kegiatan mencuri dilakukan.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias dalam sidang media di Balai Polis Sri Kembangan dekat sini Khamis, berkata ketiga-tiga suspek itu juga merupakan penagih dadah dan menggunakan hasil menjual kereta curi pada harga RM500 sebuah kepada individu tertentu untuk membeli dadah.

Pembongkaran kegiatan itu bermula apabila polis melakukan tangkapan terhadap dua suspek termasuk suspek OKU setelah kereta yang mereka naiki terbabas berdekatan pekan Seri Kembangan setelah cuba melarikan diri daripada pihak polis.

Polis yang terlibat dalam operasi Ops Lejang sebelum itu telah mengesan kenderaan Proton Waja yang dinaiki dua suspek itu dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Jalan Kolej Seri Kembangan pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

Abdul Razak berkata polis mengekori kereta tersebut sehingga ke pekan Seri Kembangan untuk melakukan tangkapan tetapi suspek bertindak memecutkan kenderaan namun terbabas dan melanggar bahu jalan tidak lama kemudian.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki dua suspek itu mendapati ia telah dilaporkan hilang di kawasan Kajang.

Polis turut menemui peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kereta ketika melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut, katanya.

"Semakan mendapati rakan suspek OKU dikehendaki polis dan merupakan ketua kumpulan curi kereta ini," katanya.

Siasatan terhadap kedua-dua suspek telah membawa kepada penahanan seorang lagi anggota kumpulan di kawasan perumahan di Kajang beberapa jam kemudian.

Abdul Razak berkata suspek ketiga yang juga merupakan pembekal syabu kepada kumpulannya turut dikehendaki polis.

"Ketika ditahan suspek berada di dalam sebuah kereta Proton Waja yang turut dilaporkan hilang di Serdang. Turut ditemui peralatan yang digunakan untuk mencuri kereta," katanya.

Ekoran penahanan ketiga-tiga lelaki itu, polis telah merampas sebuah lagi kereta Proton Waja serta dua buah komputer riba jenama Compaq dan Toshiba.

Abdul Razak berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek pernah dipenjarakan atas kesalahan mencuri kereta dan kembali aktif selepas dibebaskan.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 28 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain