suria

Dua Beradik Lemas Dalam Tali Air

BACHOK: Dua beradik lelaki menjadi korban pertama banjir di Kelantan apabila mereka ditemui lemas dalam tali air di Kampung Tualang Salak, Bachok dekat sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang tadi, Ahmad Fathi Roslan, 14, dan adiknya, Mohd Arif Hakimi, 10, lemas ketika bermain di kawasan tali air itu bersama-sama sepupu mereka, Azhar Fakhri Mohamad, 13, dan beberapa rakan lain.

Ayah mereka Roslan Abdul Ghani, 40, berkata sebelum ini anak sulung dan anak ketiganya itu tidak pernah bermain air.

"Tak tahulah kenapa kali ini kedua-duanya keluar bermain air... dan mereka mungkin tergelincir dan tidak menyedari kawasan tali air itu berikutan ia dipenuhi air banjir akibat hujan," katanya.

Beliau redha walaupun terlalu sedih kerana kehilangan dua anaknya serentak.

Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Nordin Zakaria berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 3.15 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama sepuluh anggota, termasuk pasukan skuba.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, gerakan mencari diteruskan sebelum berjaya menemui mangsa kira-kira 4.45 petang di dasar tali air itu," katanya.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain