suria

Bicara Penyerahan Harta KDSB Tangguh Pada 2 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 2 Disember ini untuk mendengar permohonan yang difailkan pihak pendakwaan bagi menangguhkan perintah penyerahan harta bernilai lebih RM32 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan lapan lagi.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu bagi memberi masa kepada peguam KDSB dan responden lain memfailkan afidavit balas.

Perbicaraan sepatutnya dimulakan Rabu.

Pada 4 November lalu, Ghazali menolak permohonan pihak kerajaan untuk menyita harta milik KDSB, dua individu dan enam syarikat yang pernah menguruskan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwa raya yang mewakili pihak kerajaan gagal membuktikan harta yang diperoleh itu mempunyai kaitan dengan aktiviti haram dan memerintahkan harta berupa wang, cek dan tanah milik responden dilepaskan daripada dibekukan dan dikembalikan kepada kesemua responden.

Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan penangguhan dan penggantungan perlaksanaan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Permohonan yang difailkan pada 9 November itu menamakan KDSB sebagai responden pertama, syarikat Transshipment Megahub Berhad, Coastal Skyline Sdn Bhd, Wijaya Baru Aviation Sdn Bhd, Wijaya Baru Sdn Bhd, Wijaya Baru Construction Sdn Bhd, Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Law Ka Hing dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai responden kedua hingga kesembilan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dilanggar Bas

Artikel Lain