suria

Tiga Beradik Didakwa Lakukan Rompakan Bersenjata

KUANTAN: Dua adik beradik dan abang tiri mereka hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata pada April tahun lepas.

Mohammad Nor Hasri Abdul Wahab, 25, Mohammad Nor Hisham, 27, dan Khaizwan Khairi, 34, didakwa menggunakan pisau ketika menyamun pemilik kedai perabot di Taman Abdul Rashid kira-kira 4 petang pada 26 April.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Azhar Othman menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Azhar juga menasihatkan semua tertuduh, yang ditangkap pada 9 November lepas, mendapatkan khidmat guaman.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Ketiga-tiga beradik, yang berasal dari Kampung Sungai Batu, Panching, bagaimanapun gagal membayar wang jaminan dan dihantar ke Penjara Penor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain