suria

Tiada Arahan Supaya SJKC Dan SJKT Sedia Makanan Halal

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pengusaha kantin di sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil supaya menyediakan makanan halal, kata Timbalan Menteri Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata SJK yang mempunyai pelajar beragama Islam sentiasa sensitif dengan perkara yang membabitkan makanan pelajar dan mereka selalunya memberi pilihan makanan halal kepada pelajar tersebut.

"Amalan ini sudah lama dijalankan atas dasar hormat menghormati.

"Pengusaha kantin SJK selalunya tahu jika ada orang Islam jadi mereka akan sediakan pilihan makanan yang halal," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini Rabu.

Wee mengulas laporan yang menyebut Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan baru-baru ini mengeluarkan arahan supaya semua pengusaha kantin SJKC dan SJKT menyediakan makanan halal di sekolah masing-masing.

Wee juga telah mengarahkan Jabatan Pelajaran negeri tersebut menjalankan siasatan segera berkenaan kekeliruan arahan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Wee sekali lagi memberi amaran kepada pihak sekolah supaya tidak sewenang-wenangnya membuat potongan wang bantuan sebanyak RM100 yang disediakan kerajaan kepada ibu bapa pelajar.

"Kita masih menerima beberapa laporan menyatakan ada segelintir sekolah yang membuat potongan wang bantuan itu.

"Ikut arahan yang diberi, tolong pulangkan kembali wang bantuan itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain