suria

Polis Soal Beberapa Orang Berhubung Kontroversi NFC - Ismail Omar

SHAH ALAM: Polis telah merekod kenyataan daripada lebih empat orang bagi memudahkan siasatan terhadap kemungkinan berlaku jenayah pecah amanah membabitkan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Mereka termasuk pengerusi eksekutifnya Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata siasatan berjalan lancar sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kes itu kepada polis baru-baru ini.

"Lebih daripada tiga hingga empat orang dipanggil bagi memudahkan siasatan. Mohamad Salleh hadir di Jabatan Jenayah Komersial (di Bukit Aman) Selasa untuk kenyataannya direkodkan.

"Polis sedang menyiasat perkara itu dari semua sudut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat baru kontinjen polis Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini Rabu.

Sambil menyatakan beliau ada mendengar pelbagai versi kes itu, Ismail berkata orang ramai hendaklah mengelak membuat spekulasi.

"Tolong jangan buat spekulasi. Kita mesti berlaku adil kepada semua pihak oleh kerana kes ini masih disiasat," kata beliau.

Isu NFC timbul selepas laporan Ketua Audit Negara 2010 menarik perhatian bahawa projek itu tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Mengenai perkara lain, Ismail menggesa media jangan membuat spekulasi tentang penahanan 13 orang dari Darul Islam yang disyaki pengganas di Tawau minggu lepas.

Harian The Star pada Rabu melaporkan mereka yang ditahan itu adalah sebahagian dari satu kumpulan dipercayai merancang membunuh seorang anggota dewan negeri tempatan.

Siasatan awal menunjukkan kumpulan itu menampakkan tanda-tanda yang mereka cuba menghasut pihak tertentu melakukan aktiviti berbahaya terhadap negara.

Menyebut sumber-sumber pembanterasan terrorisme, laporan itu berkata mereka juga merancang menahan seorang pegawai polis sebagai tebusan bagi mendapatkan pembebasan rakan-rakan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain