suria

Penyelidik USM Menang Tujuh Emas Di Jerman Dan Poland

GEORGE TOWN: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila memenangi tujuh pingat emas dalam dua pertandingan mencipta produk di Jerman dan Poland, baru-baru ini.

Ketua kumpulan penyelidik berkenaan Prof Hanafi Ismail berkata universiti itu mencatat keputusan yang cemerlang dalam produk untuk memelihara kestabilan alam sekitar.

"Dengan bilangan penyertaan lebih 100 produk daripada 20 negara serta proses penghakiman yang ketat, kejayaan ini sememangnya bermakna buat USM yang merupakan sebuah universiti penyelidikan," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa dimenangi dalam Pameran Penciptaan Produk dan Idea Baru Antarabangsa (IENA) 2011 di Jerman yang berlangsung pada 27 dan 30 Oktober lepas.

Hanafi berkata satu daripada emas itu disumbang oleh beliau sendiri menerusi produk 'FruitPlast:Biodegradable Plastic for Tomorrow' (Plastik terbaharu yang dihasilkan dari kulit rambutan dan nangka bagi menggantikan plastik petroleum).

Beliau berkata Produk FruitPlast adalah 10 peratus lebih murah daripada plastik konvesional yang digunakan secara harian.

"Ia juga mudah lupus kerana produk itu diperbuat daripada bahan buangan iaitu kulit rambutan dan kulit nangka," katanya. Beliau berkata tiga lagi emas disumbang oleh Prof Abdul Latif Ahmad menerusi produk 'Indigenous biomedical lateral flow membrane', Prof Madya Dr S.Srimala bagi produk 'an excellent air purifeir' dan Dr Lim Boon Huat yang mencipta produk 'genostick:a rapid universal Kit for PCR amplicon detection'.

Kumpulan penyelidik USM itu juga turut memenangi tiga emas, tiga perak dan satu gangsa pada Pameran Ciptaan Antarabangsa Warsaw (IWIS 2011), Poland yang berlangsung mulai 3 hingga 5 November lepas.

"Selepas kami bertanding di Jerman, kumpulan yang sama turut bertanding di Polland dan berjaya memperoleh tiga emas menerusi produk saya sendiri, produk Prof Abdul Latif dan Dr Zainoodin Sheikh Abdul Kader menerusi produk 'Melidot enzyme Immunoassay'," katanya.

Hanafi berkata sekumpulan penyelidik USM turut menyertai Pertandingan BioMalaysia 2011 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 November dan memenangi dua emas dan empat perak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain