suria

Bekas Penari Istana Saman Presiden Indonesia

JAKARTA: Seorang wanita bekas penari Istana Presiden di era pemerintahan Presiden Soekarno menyaman Kerajaan Indonesia masa kini atas dakwaan negara telah melayani beliau secara diskriminatif selama puluhan tahun kesan daripada Gerakan 30 September Parti Komunis Indonesia (PKI) 1965, yang juga dikenali sebagai Gestapu.

Nona Nani Nurani, 70, yang menjadi penari di Istana Cipanas, Cianjur, Jawa Barat, pernah dipenjara tujuh tahun kerana dituduh menyokong PKI, setelah dia menari di satu acara ulang tahun PKI pada 1965.

Beliau mendakwa cuma menari di acara itu dan bukan kader PKI, namun telah dipenjarakan pada 23 Disember, 1968 tanpa proses perbicaraan dan hanya dibebaskan pada 19 Nov, 1975, harian Media Indonesia melaporkan, Selasa.

Atas dasar perjuangan dan penderitaan selama puluhan tahun itu, Nani memberanikan diri untuk menyaman Kerajaan Indonesia, yang dianggap telah merugikan dan merendahkan harakat dan martabatnya.

Dalam samannya, Nani menuntut ganti rugi material sebanyak Rp7.46 bilion dan gantirugi bukan material sebanyak Rp30 juta, kata laporan itu.

(100 Rupiah Indonesia = RM 0.0352)

Perbicaraan kes saman di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu, bermula Isnin.

Saman terhadap negara itu dibuat melalui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Peguam Nani, Andi Muttaqien dipetik sebagai berkata bahawa anak guamnya telah diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan selama puluhan tahun, termasuk dipenjara tujuh tahun tanpa alasan jelas dan seumur hidup merasakan penderitaan akibat stigma negatif PKI.

Andi berkata layanan diskriminatif oleh kerajaan itu merupakan pelanggaran hak asasi manusia, yang dilakukan tanpa alasan jelas.

Laporan itu menyebut bahawa Nani belum mendapat hak untuk menjalani kehidupan sebagaimana yang dinikmati warga lain, sejak dibebaskan dari penjara.

Selama puluhan tahun sejak era Order Baru hingga era reformasi, Nani telah berjuang mendapatkan status sebagai penduduk tetapi belum memiliki kad pengenalan (KTP) bagi mengesahkan status kependudukannya.

Beliau pernah menyaman Penghulu Mukim Koja, Jakarta Utara pada 2003 kerana tidak mahu mengeluarkan KTP atas nama dirinya dan mahkamah memberi kemenangan kepada beliau dalam kes saman itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Berikut

Artikel Lain