suria

Polis Bongkar Makmal Dadah Dan Rampas Heroin Bernilai RM4 Juta

GEORGE TOWN: Polis berjaya membongkar satu sindiket pemprosesan dadah apabila menahan seorang wanita sarat mengandung bersama rakannya dalam serbuan di sebuah unit pangsapuri di Bayan Indah, Sungai Nibong di sini Isnin.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam serbuan pada pukul 3 petang itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4 juta dan pelbagai peralatan memproses dadah.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis dapati rumah itu dijadikan sebuah makmal memproses dadah jenis heroin dan stor menyimpan dadah," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata polis turut merampas dua pucuk pistol jenis Baretta dan Glock serta 212 butir peluru hidup serta satu 'silencer', wang tunai RM199,500, barangan kemas bernilai RM42,000 dan empat kereta mewah serta sebuah motosikal.

Abdul Rahim berkata ketika diserbu, dua wanita termasuk yang sarat mengandung lapan bulan berusia 25 tahun itu berada dalam rumah berkenaan dan mereka dipercayai anggota sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah.

"Polis merampas 11.6 kilogram dadah jenis heroin, heroin base (17.9kg), serbuk kafein (150kg), peralatan dan bahan-bahan kimia untuk memproses dadah," katanya.

Abdul Rahim berkata polis percaya sindiket terbabit menjalankan kegiatan memproses dadah di pangsapuri itu sebelum mengedarkannya untuk pasaran di semenanjung Malaysia.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan aktiviti pemprosesan dadah di pangsapuri berkenaan sejak dua bulan lepas dan dipercayai mereka berpindah randah bagi mengelak di kesan pihak polis," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain