suria

Pengurus Didakwa Sogok Pegawai TNB

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus pemasaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, terhadap pertuduhan memberi suapan RM25,000 kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) enam bulan lepas.

Cheah Peck Hiong, 39, dituduh memberi wang itu kepada Pengurus Kanan Bahagian Siasatan dan Risikan TNB, Rumaizi Mohd Amin sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap premis Piau Kee Live & Frozen Seafoods Sdn Bhd di Kampung Cheras Baru kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan kesalahan di Restoran Fresh Room Sdn Bhd, di Bangsar Shopping Centre di sini pada 5.40 petang 24 Mei lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Mohd Sophian Zakaria daripada SPRM manakala Cheah diwakili peguam Y.S.Ram. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain