suria

Muhyiddin Nasihat Mahasiswa Tumpu Pengajian

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan mahasiswa supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian dan tidak terbabit dalam aktiviti yang boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata peluang untuk menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang pilihan masing-masing perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh mahasiswa semasa di universiti.

"Peranan kerajaan pula adalah untuk memastikan wujud persekitaran yang kondusif dan harmonis di universiti yang dapat membantu mahasiswa mengikuti pengajian dengan sempurna," katanya semasa berucap pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di sini Isnin.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan percaya suasana harmonis di universiti dapat diwujudkan dengan adanya sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan mahasiswa.

"Sementara Perlembagaan negara kita menjamin kebebasan setiap warga negara termasuk mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan, kebebasan itu pastinya perlu diiringi dengan kesedaran dan tanggungjawab mahasiswa sendiri untuk mewujudkan suasana yang kondusif kepada perkembangan intelektual dan sahsiah pelajar secara seimbang.

"Ini menuntut mahasiswa untuk sentiasa berfikir dengan matang dalam menilai sama ada sesuatu perkara yang dilakukan boleh memberi manfaat kepada mereka atau sebaliknya," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak universiti dan kerajaan sentiasa bersedia untuk mendengar pandangan konstruktif daripada mahasiswa baik dalam hal-hal yang menyentuh kebajikan mereka, aktiviti kemahasiswaan atau isu-isu nasional.

Beliau berkata MPPK, di mana mahasiswa adalah anggotanya, merupakan mekanisme terbaik untuk pemimpin mahasiswa mengutarakan pandangan kepada kerajaan mengenai pelbagai perkara.

"Kerajaan sentiasa memberikan perhatian serius terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat ini (MPPK).

Tindakan susulan diambil untuk memastikan setiap keputusan mesyuarat disusuli dengan tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain