suria

Mangsa Banjir Terengganu Meningkat Kepada 373 Orang

KUALA TERENGGANU: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di tiga daerah di Terengganu kini meningkat kepada 373 orang berbanding 313 mangsa yang dipindahkan petang tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, penduduk yang dipindahkan ialah 175 orang di Besut, Setiu (115) dan Hulu Terengganu (83) orang.

Beliau berkata, sehingga pukul 6 petang ini sebanyak lapan pusat pemindahan telah dibuka iaitu tiga masing-masing di Besut dan Hulu Terengganu manakala dua di Setiu.

Kebanyakan mangsa-mangsa itu ditempatkan di balai raya, masjid dan dewan serbaguna, katanya.

Menurut jurucakap itu jalan Kuala Berang-Sungai Tong, di Lubuk Tengkawang ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam 0.6 meter.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Kampung Bukit di Setiu berada di tahap bahaya.

Orang ramai yang tinggal di tebing sungai itu dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan berpindah ke pusat pemindahan jika diminta berbuat demikian.

Semalam, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di beberapa negeri termasuk Terengganu yang boleh mengakibatkan banjir, terutamanya di kawasan rendah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain