suria

Kerajaan Negeri Boleh Sekat Penukaran Hak Milik Tanah

IPOH: Kerajaan negeri menerusi dasar tertentu boleh menyekat atau menghalang hak milik tanah yang telah diberikan kepada Orang Asli ditukarkan kepada pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan daripada keistimewaan golongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri sedar apabila memberi hak milik tanah akan berlaku perkara yang tidak membantu masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf hidup mereka.

"Kerajaan negeri sedar kemungkinan hak milik itu dijual, disewa atau bertukar hak milik (selepas mendapat geran) secara tidak mengikut udang-undang, kerana itu ada dasar sekatan tertentu kepada pemilik tanah," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Isnin.

Saarani berkata menjadi hasrat kerajaan negeri memberi hak milik tanah kepada Orang Asli dengan tujuan membuka peluang membangunkan tanah mereka untuk meningkatkan taraf hidup.

Mengenai kesukaran dihadapi masyarakat Orang Asli membayar cukai tanah, beliau berkata Orang Asli juga merupakan rakyat seperti golongan lain, kerana itu mereka perlu membayar cukai tanah sekiranya bersedia menerima hak milik.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kerja membaiki dan menyelenggara lif bermasalah di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh akan dibuat tidak lama lagi untuk kemudahan pesakit dan orang ramai.

Ketika menjawab soalan A.Sivasubramaniam (DAP-Buntong), Dr Mah menafikan dakwaan bahawa pihak hospital mengabaikan nasib peniaga di ruang hadapan kantin hospital berkenaan.

"Pengurusan hospital sedang berusaha menyediakan tapak niaga yang lebih sesuai bagi membolehkan peniaga dan penjaja menjalankan perniagaan lebih selesa di kawasan hospital.

"Perancangan dan proses sebut harga membina tapak niaga tersebut akan dibuat dan peniaga yang berminat boleh membuat permohonan berniaga di kawasan yang akan dibangunkan nanti," katanya.

Dr Mah berkata perjanjian sewaan dengan peniaga terbabit telah tamat tempoh dan tidak akan disambung kerana kawasan itu didapati tidak sesuai untuk aktiviti perniagaan terutama mengenai aspek kebersihan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain