suria

Kerajaan Belum Cadang Laksana Daftar Pemilih Automatik

Oleh ARIFFUDDIN ISHAKKUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kaedah pendaftaran secara automatik akan menimbulkan kesulitan sama ada kepada pengundi mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama dalam menentukan pusat mengundi pada pilihan raya.

"Jika berlaku pilihan raya, pengundi akan menghadapi kesulitan untuk ditentukan pusat mengundi. Mungkin nama seseorang pengundi itu tiada di tempat mengundi mereka bermastautin," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersedia meminda undang-undang bagi memastikan rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.

Selain itu beliau berkata, masalah juga akan timbul sekiranya seseorang pengundi itu berpindah ke kawasan baru yang jauh daripada pusat mengundi tempat mereka didaftarkan.

"Jika ramai pemilih yang berpindah tempat tinggal tapi tidak memaklumkan kepada JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), adalah dikhuatiri ramai pengundi tidak akan kembali mengundi di pusat mengundi yang terletak jauh dari tempat kediaman mereka.

"Keadaan ini akan menyebabkan peratus pemilih yang keluar mengundi di sesuatu bahagian pilihan raya akan berkurangan dan secara tidak langsung akan menjejaskan proses demokrasi," katanya.

Bagaimanapun menurut Liew pada masa yang sama kerajaan akan terus mengkaji pelbagai langkah efektif bagi menambah baik urusan pendaftaran pemilih sedia ada.

Isu pendaftaran pengundi secara automatik turut dibincangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penambahbaikan sistem pilihan raya.

Peguam Negara memaklumkan bahawa jika sistem pendaftaran automatik mahu dilaksanakan, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 119(4)(b) yang menyatakan tarikh kelayakan seseorang yang memohon sebagai pengundi perlu dibuat.

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain