suria

Tiga Maut, Dua Parah Nahas Tiga Kenderaan

KUANTAN: Tiga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di km3 Jalan Raub-Bukit Koman, dekat bandar Raub, petang Ahad.

Mereka yang maut ialah penumpang hadapan Proton Wira, Lai Chew Peng, 29, bersama anaknya, Koh Xiang Xun, 1 tahun dari Kampung Muhibbah, Raub dan pemandu Proton Iswara, Choo Kien Keong, 32, dari Taman Bukit Koman, Raub.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 5.35 petang itu Proton Iswara dari Bukit Koman ke Raub itu telah memasuki laluan bertentangan.

"Kereta terbabit kemudiannya bertembung dengan Proton Wira yang dinaiki empat beranak berkenaan.

"Selepas bertembung, Proton Iswara telah berpusing-pusing beberapa kali dan pada masa yang sama seorang penunggang motosikal, Fong Lee Feng, 30, merempuh bahagian belakang kereta terbabit," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohamed Fauzi berkata pemandu kereta Proton Iswara yang cedera parah di kepala itu mati di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa dalam kereta Proton Wira mati di wad kecemasan Hospital Raub ketika menerima rawatan.

Suami kepada Lai Chew Peng, Koh Kok Keong, 34, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Koh Liang An, 4, cedera parah di kepala dan badan.

"Dua beranak yang parah itu kini dirawat di Hospital Raub manakala penunggang motosikal terbabit hanya cedera ringan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain